KONSEP FORMULA 6 M
1) MUDARRIS
Konsep mudarris merujuk kepada guru yang berkesan.Umumnya ia dinilai daripada lima aspek utama iaitu ciri-ciri peribadi yang dimiliki,kaedah-kaedah pengajaran yang digunakan,kejayaan mewujudkan iklim dan personaliti bilik darjah yang baik,mempunyai kepakaran serta mempunyai kecekapan yang melibatkan aspek P&P bermula daripada persediaan mengajar sehingga kepada proses akhir P&P.
-Peranan guru sebagai mudarris merujuk kepada ciri-ciri berikut:
*Menarik perhatian pelajar semasa proses P&P.
*Menstruktur kandungan pengajaran dan mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada pelajar.
*Menggunakan media pengajaran yang berkesan.
2)MUADDIB
Ta'adib membawa maksud proses mendidik atau membentuk seseorang individu yang terdidik mempunyai kemampuan untuk mengembangkan segala potensinya ke arah pembentukan peribadi,sikap dan sahsiah selaras dengan acuan pembentukan yang ditetapkan oleh Allah SWT.Dalam konteks ini,perkataan Muaddib merujuk kepada peranan guru dalam bilik darjah untuk mengasuh,mendidik,membentuk tingkahlaku,sahsiah dan seluruh adab sopan dalam pembinaan dan pembangunan diri para pelajarnya.
-Ciri yang perlu ada dalam komponen Muaddib.
*Memakai pakaian yang sesuai dan kemas(menutup aurat)serta menepati kod etika yang ditetapkan.
*Menepati dan menghormati masa serta menuturkan kata dengan berhemah dan sopan.
*Menunjukkan kewibawaan serta menunjukkan sikap prihatin terhadap kebajikan pelajar.
3)MURABBI
Murabbi merujuk kepada peranan guru di dalam bilik darjah yang seiring dengan dasar pendemokrasian pendidikan untuk membina akal budi,membangun jati diri dan integriti,memacu minda,mencurahkan kasih sayang dan memelihara fitrah para pelajar serta memupuk bakat dan kebolehan yang wujud dalam diri mereka secara beransur-ansur agar dapat berkembang dengan baik selaras dengan kematangan yang dilalui oleh pelajar tersebut.
-Ciri yang perlu ada dalam komponen Murabbi:
*Menerapkan unsur-unsur ketauhidan dalam proses P&P.
*Mengenali pelajar serta memotivasikan pelajar.
*Menggunakan bahasa komunikasi yang sesuai dengan pelajar.
4)MU'ALLIM
Mu'allim merujuk kepada peranan guru di dalam bilik darjah untuk memberitahu,mengajar,memindah dan menyampaikan pelbagai jenis maklumat,disiplin dan ilmu pengetahuan kepada pelajar sama ada melalui latihan,amali,latihtubi atau sebarang bentuk pengajaran yang dirancang.
-Ciri yang perlu ada dalam komponen mu'allim:
*Memiliki,menguasai dan membudayakan ilmu.
*Menghargai para sarjana dan kesarjanaan.
*Menggalakkan pembelajaran kendiri.
5)MURSHID
Murshid merujuk kepada aspek kepimpinan guru dalam bilik untuk menjaga,menasihati,mengarah,membimbing dan memberi petunjuk kepada para pelajar ke arah pembentukan dan pembangunan diri(jasmani,emosi,rohani dan intelek)sebagai insan soleh.
-Ciri yang perlu ada dalam komponen murshid:
*Bersikap toleransi dan adil dengan pelajar serta mengamalkan ciri-ciri mushawarah yang unggul.
*Menampilkan kepimpinan yang berhikmah,zuhud dan tawadu'.
*Bertindak teliti,tulus dan telus serta pantas terhadap isu-isu pelajar.
6)MUBALLIGH
Muballigh merujuk kepada kualiti guru cemerlang yang berperanan sebagai da'i(pendakwah) dengan memberi tumpuan kepada asperk keterbukaan,kesederhanaan,kesempurnaan dan keseimbangan semasa menjalankan amanah dan tanggungjawabnya.Konsep tabligh mengutamakan ketegasan dalam kelembutan serta bijaksana ketika berhujah dan memberi tunjuk ajar.
-Komponen muballigh dalam formula ini memerlukan ciri-ciri berikut:
*Sentiasa melakukan muhasabah al-nafs untuk memerlukan kesedaran diri dan pelajar.
*Menggalakkan cetusan idea baru serta berinovatif.
*Menyampaikan pengajaran dengan pendekatan yang paling mudah,kemas,teratur dan berstrategik.

No comments:
Post a Comment